Dalam kereta yang kecil serta panas terik matahari, tidak menghalang pasangan kekasih asyik bercumbuan di kawasan parkir di Taman Tasik Cempaka, di sini.
Itu antara situasi pasangan kekasih yang dikuasai nafsu di kawasan riadah berkenaan. Dengan sebahagiannya lengkap berpakaian seolah-olah bekerja, beberapa pasangan terbabit bercumbuan dalam kenderaan tanpa menghiraukan orang sekeliling yang berada di situ.
Ani Saad, 53, berkata beberapa kenderaan berada di kawasan parkir seawal jam 11 pagi sehingga jam 5 petang memandangkan kawasan itu lengang dan sunyi.
“Dulu pernah pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan tangkapan. Oleh itu, tiada lagi pasangan kekasih berani datang ke sini untuk memadu asmara.
“Namun, sejak kebelakangan ini, mereka mula datang, berkelakuan tidak senonoh seperti berpelukan dan bercumbuan, malah ada yang melakukannya di pondok rehat pada siang hari,” katanya.
Menurut Ani, lebih memalukan apabila hampir semua pasangan itu terdiri daripada Melayu dan wanitanya pula lengkap bertudung.
“Saya pernah melihat lelaki yang dengan selamba memasukkan tangan atau kepala mereka di dalam tudung wanita terbabit.
“Malah, ada antara mereka bersikap kurang ajar dengan mengherdik pekerja pembersihan yang menegur perbuatan tidak bermoral mereka,” katanya.
Tinjauan Metroplus selama dua hari di kawasan itu bermula jam 12 tengah hari hingga 4 petang baru-baru ini, mendapati lebih kurang 15 kenderaan diletakkan di situ pada waktu berlainan sebelum beredar keluar selepas 30 minit.
Pekerja pembersihan yang mahu dikenali sebagai Samad berkata, dia dan rakan sekerja pernah menemui seluar dalam dan kondom yang sudah digunakan ketika membersihkan kawasan.
“Kami percaya mereka melakukan perbuatan itu pada waktu malam terutama pada hujung minggu,” katanya.
Bagi pengunjung, Samsiah Ali, 36, berharap pihak berkuasa melakukan rondaan di situ bagi mencegah perbuatan tidak bermoral itu.
“Ia satu perkara yang tidak baik. Di sini kawasan riadah umum, sudah tentu semua orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak berada di sini.
“Perbuatan mereka yang melakukan maksiat sesuka hati boleh dilihat kanak-kanak dan ini contoh buruk kepada mereka,” katanya.
Tu gambar btul ker atau hiasan jer..hahaha..
ReplyDelete